Kami mengalu-alukan kehadiran anda ke blog kami. Sebarang komen dan pendapat bolehlah diajukan terus ke buku pelawat kami ataupun kepada moderator blog ini.

11 May 2009

Fokus : Hari Guru : Membina Negara Bangsa



Selain mengajar, guru ibu bapa kedua berperanan mencorak masa depan pelajar

JASA dan pengorbanan guru dalam memenuhi tanggungjawab mendidik anak bangsa sememangnya tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

Sejak dulu hingga kini, profesion itu disanjung tinggi di kalangan masyarakat yang menyifatkannya sebagai kerjaya mulia dan berjasa.

Justeru, tidak hairanlah jika setiap tahun, pada tanggal 16 Mei, sambutan Hari Guru diadakan bagi meraikan dan menghargai warga pendidik yang bertungkus-lumus menabur jasa dan bakti demi memastikan anak bangsa berjaya.

Bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa, Hari Guru ke-38 tahun ini disambut dengan kemuncaknya di peringkat kebangsaan yang bakal diadakan di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata tema itu sejajar dengan teras pertama Pelan Induk Pendidikan Negara (PIPP), Kementerian Pelajaran, iaitu Membina Negara Bangsa.


Katanya, implikasi tema itu amat besar kepada guru yang menjadi aset utama kecemerlangan pendidikan negara kerana asas bagi mewujudkan negara bangsa yang kukuh adalah menerusi pendidikan.

“Proses pendidikan di sekolah menyediakan pelbagai pengisian merentasi kurikulum yang mampu memupuk nilai positif kepada pelajar merangkumi penerapan nilai murni, semangat patriotik dan perpaduan kaum.

“Pemupukan nilai positif menerusi pendidikan dilihat lebih mudah kerana di sinilah guru berperanan sebagai pembimbing, penunjuk ajar dan pemandu kepada pelajar.

“Namun dalam usaha menyuntik nilai murni ini, guru sewajarnya terlebih dulu menjadi contoh pengamal nilai berkenaan. Guru perlu memiliki peribadi cemerlang dan menjadi teladan terbaik kerana tutur kata serta tindak tanduk mereka

menjadi perhatian dan rujukan pelajar, ibu bapa dan masyarakat,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau menjelaskan, profesion guru masa kini berada di tahap yang baik kerana pelbagai keistimewaan dan insentif diberikan kerajaan kepada warga pendidik.

“Contohnya, tahun lalu kira-kira 6,000 guru berpeluang menikmati kenaikan pangkat dan gred menerusi pelbagai saluran berbeza seperti kenaikan secara time-based, selain dinaikkan pangkat sebagai guru dan pengetua cemerlang,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran guru masa kini, Alimuddin berkata, ramai menyedari guru tidak boleh lari daripada cabaran dan kekangan dalam menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pendidik.

Malah beliau berkata, guru bukan setakat pendidik, malah tanggungjawab mereka lebih luas termasuk bertindak sebagai ibu bapa kedua yang berperanan mencorak masa depan pelajar.

Justeru, katanya, pengamalan sikap proaktif, berdaya saing, bersemangat kental, berakhlak mulia serta ketrampilan perlu menjadi amalan dan budaya kerja di kalangan guru.

Sambil menyifatkan sambutan Hari Guru sebagai hari untuk guru bermuhasabah diri, beliau berkata, mereka wajar menanam keazaman dan tekad untuk melengkap diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan, selain memperbaiki kelemahan sedia ada.

“Inilah masa untuk kita muhasabah diri, tanamkan tekad, tingkatkan prestasi demi tanggungjawab mendidik anak bangsa dan negara pada masa depan,” katanya.

Meskipun tugas guru kini semakin mencabar seiring perkembangan pesat dalam bidang pendidikan, Alimuddin berkata, profesion itu tetap menjadi antara kerjaya pilihan utama generasi muda.

Malah, beliau berkata, permohonan calon dari seluruh negara untuk kemasukan ke institut pendidikan guru meningkat setiap tahun dengan jumlahnya meningkat berkali ganda berbanding bilangan tempat disediakan.

Beliau turut mengakui pihaknya tidak lekang berdepan dengan pelbagai masalah dan rungutan segelintir masyarakat yang sering melontarkan ketidakpuasan hati terhadap tindakan atau perubahan dilaksanakan kerajaan kepada guru.

“Kita sentiasa terbuka menerima kritikan, rungutan mahupun pandangan masyarakat khususnya warga pendidik dalam apa juga isu dan dasar sebegini sudah lama dipraktikkan.

“Malah apa yang kita lakukan hari ini adalah sejajar dengan konsep Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang ditekankan kepemimpinan baru negara diterajui Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2009, katanya, ia amat bermakna kerana diraikan bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, lebih 1,000 tetamu di kalangan wakil pelbagai peringkat warga pendidikan dari seluruh negara akan hadir memeriahkan majlis pelancaran perayaan kali ini.

Selain penganugerahan Tokoh Guru dan pengurusan, katanya, sambutan kali ini akan menyaksikan pelancaran Buku Standard Kualiti Guru Malaysia terbitan Bahagian Pendidikan Guru sebagai instrumen terkini menilai pencapaian guru seluruh negara.

“Turut diadakan, Majlis Menjunjung Budi yang bakal dihadiri 200 guru di sekolah yang dikelaskan sebagai banyak cabaran seperti di pedalaman, penempatan Orang Asli, pulau, Sabah dan Sarawak, di samping di bandar besar seperti Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sebagai jemputan khas,” katanya.


By marina

Dimuat turun daripada Berita Harian Online (11 Mei 2009)

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
http://2.bp.blogspot.com/_sYx8LhsF1y0/SZyFeDqrknI/AAAAAAAAAwI/hzZSY5krbTo/s1600-h/jom_04.png