Kami mengalu-alukan kehadiran anda ke blog kami. Sebarang komen dan pendapat bolehlah diajukan terus ke buku pelawat kami ataupun kepada moderator blog ini.


13 October 2009

Syarat masuk IPGM diperketat..

Aku janji mulai tahun depan elak pelatih berhenti sebelum tamat tempoh kursus: Mohd Puad

JERTIH: Syarat kemasukan ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) akan diperketatkan, termasuk mensyaratkan semua pelatih menandatangani aku janji mulai tahun depan bagi mengelak mereka tidak menamatkan kursus apabila mendapat tawaran kerja.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata langkah itu bertujuan melahirkan lebih ramai guru berkualiti seiring dengan agenda pembangunan bidang perguruan supaya setaraf dengan standard antarabangsa.

Katanya, antara syarat lain yang akan diberi penekanan kepada calon guru ialah ketrampilan peribadi, minat dan kefahaman mengenai kehendak kerjaya mereka.

"Ketiadaan penekanan terhadap aspek berkenaan menyebabkan ramai calon guru sebelum ini tidak menamatkan kursus apabila mendapat tawaran kerja lain dan tindakan itu merugikan kerajaan.

"Dengan adanya syarat baru terutama aku janji diharap tidak ada lagi masalah pelajar berhenti sebelum tamat pengajian," katanya selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun IPGM Kampus Sultan Mizan ke-10, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Abd Rahman Mokhtar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Besut, Nawi Mohamad.

Mohd Fuad berkata, kerajaan akan menaik taraf semua IPGM seluruh negara supaya mempunyai kemudahan dan modul latihan bertaraf antarabangsa mulai tahun depan.

Katanya, kerajaan akan memanfaatkan peruntukan sebanyak RM5 juta daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) sejajar dengan pengiktirafan badan dunia itu mengenai usaha Malaysia untuk memajukan IPGM supaya menjadi antara yang terbaik di rantau Asia.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah dimaklumkan mengenai peruntukan yang diterima daripada Unesco itu.

Mohd Puad berkata, kini ada 27 IPGM di seluruh negara membabitkan 3,129 pensyarah dan 28,755 pelajar.

Sumber : Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
http://2.bp.blogspot.com/_sYx8LhsF1y0/SZyFeDqrknI/AAAAAAAAAwI/hzZSY5krbTo/s1600-h/jom_04.png